Sunday 20 July 2014

Solidariti buat MH17


Di hari ke 131 Malaysia masih bersedih di atas tragedi kehilangan pesawat MH370, sekali lagi dunia digegarkan dengan sebuah lagi berita tragik pesawat MH 17 yang dilaporkan ditembak jatuh di wilayah Donesk, Ukraine.
Tragedi ini telah memukul jiwa dan hati setiap ahli keluarga mangsa nahas pesawat. Dan kehibaan itu dirasai seluruh warga Malaysia.

43 orang penumpang dan krew kapal pesawat berkenaan adalah warga negara Malaysia manakala selebihnya adalah warga negara Amerika, Britain, Belanda, Belgium, dan Indonesia. Justeru, berita tragis ini bukan sahaja dirasai di negara kita malah seluruh dunia sugul menerima hakikatnya.

Namun apa yang lebih mengecewakan ialah belum sejam lamanya berita tersebut dilaporkan secara meluas di media massa dan medial sosial, sudah ramai menuding jari menyalahkan kepimpinan Perdana Menteri kita, Y.A.B Dato’ Seri Najib Razak. Ada juga yang menyalahkan kapten yang mengawal pesawat, dan juga ramai menjadi pakar membuat spekulasi sendiri. Dan ada juga mengatakan sebagai hukuman dari tuhan. Tidak. Ini tidak benar.

Sebagai rakyat Malaysia dengan kemudahan informasi di hujung jari, sudah pasti kita seharusnya lebih matang sebelum membuat sebarang tuduhan melulu. Kerana setiap apa yang kita keluarkan datang dengan tanggungjawab.

Terlalu banyak isu dibangkitkan sehingga isu ini dipolitikkan sehabis-habisan. Ada juga pihak menyalahkan dan mempersoalkan “kenapa pesawat terbang menggunakan laluan “war zone”. Walhal itu bukanlah sesuatu yang perlu dipersoalkan kerana terdapat 400 lagi pesawat yang menggunakan laluan ruang udara yang sama. Sebetulnya, bukanlah pilihan laluan itu yang mengorbankan kesemua mangsa, tapi puluru yang ditembak dengan niatlah yang membunuh. ‘it’s not the route that kills but the missile itself’.

Pesawat komersial milik Malaysia Airlines dilaporkan telah ditembak jatuh di ruang udara Ukraine. Dan menurut undang-undang Antarabangsa, pihak bertanggungjawab telah melanggar Artikel 3 Chicago Convention dan boleh dijadikan asas bagi negara Malaysia yang mempuyai locus standi di Mahkamah Jenayah Antarabangsa. dan juga membuat tuntutan sivil terhadap kerugian yang dialami bersama-sama negara lain yang warganegaranya juga menjadi mangsa nahas. Seperti yang digesa Y.A.B Perdana Menteri, jika siasatan membuktikan pesawat MH17 ditembak jatuh dengan sengaja, Malaysia menuntut agar pihak yang bertanggungjawab dibawa terus ke muka pengadilan. Kita juga tidak boleh membiar negara-negara kuasa besar mengambil kesempatan demi kepentingan masing-masing dan  diambil kesempatan oleh anasir luar untuk dipolitikkan. Maka, Isu ini seharusnya menjadikan rakyat Malaysia bersatu memberi sokongan tidak berbelah bagi pada kepimpinan Y.A.B Perdana Menteri agar dapat memberi tumpuan sepenuhnya menyelesaikan masalah dengan segera.

Apa yang lebih penting ialah kita lebih bersikap terbuka positif serta menghormati dan menjaga sensitiviti bukan sahaja kepada ahli keluarga mangsa di negara kita sendiri, tetapi selurh dunia yang meratapi kejadian ini. Seluruh kami rakyat Malaysia meratapi antara kejadian paling tragis dalam dekad ini. Bersama solidariti buat MH17.


No comments:

Post a Comment